Teknik Jahit Manik Mudah Dan Jimat Masa

Teknik Jahit Manik Mudah Dan Jimat Masa kaedah Tambour Beading

Seperti yang ramai tahu, sejak zaman mak mak kita jahit manik di Malaysia ini kebanyakan nya menggunakan teknik tradisional dimana benang akan di masukkan ke jarum tangan dan benang tersebut di matikan kemudian jahitan awal dilakukan diikuti manik dan dijahit menjadi motif yang diinginkan. Namun teknik ini mengambil masa yang sangat lama untuk disiapkan, tambahan pula jarum yang di tusuk ke fabrik tersebut silap-silap termakan jari pula. Itu belum di ambil kira tangan naik dan turun, kebanyakan mengeluh nak siapkan 1 baju ambil masa beberapa hari untuk disiapkan sebab sakit bahu.

Kekemasan juga menjadi salah satu faktor utama dalam memastikan kualiti akhir hasil proses jahit manik tersebut. Tidak kira sama ada jahit manik pada baju kurung moden, jahit manik pada baju kebaya, jahit manik pada bag atau jahit manik sebagai kerongsang ia perlulah kemas. Bagi memastikan faktor kekemasan dapat dihasilkan, teknik memegang fabrik atau baju yang ingin dijahit manik tersebut haruslah betul dan selesa.

Perbezaan Jahit Manik Teknik Tradisional VS Jahit Manik Teknik Tambour Beading

  • Jahit Manik Teknik Tradisional
    • Perlu memegang jarum dengan kemas ketika melakukan proses jahit manik agar jarum tidak tersusuk jari ketika proses jahit manik sedang dilakukan.
    • Tangan digunakan sebagai pemidang ketika proses jahit manik – perlu buka semua jari semasa proses jahit manik bagi memastikan jarum tidak tersusuk pada bahagian salah di fabrik.
    • Benang akan kerap habis ketika proses jahit manik sedang dilakukan dan perlu memasukkan ke dalam jarum dan dilakukan simpulan sebelum memulakan proses jahitan manik berikutnya.
    • Bahu akan terasa lenguh ketika melakukan proses jahit manik kerana perlu sentiasa naik dan turun untuk setiap langkah manik tersebut.
  • Jahit Manik Teknik Tambour Beading
    • Jarum dipegang dengan mudah dan selesa seperti sedang menulis ketika proses jahit manik dilakukan.
    • Sebelum proses jahit manik menggunakan teknik Tambour Beading dilakukan, fabrik akan diikat pada pemidang dan ketika melakukan proses jahit manik terasa sangat selesa kerana fabrik diregang rata seperti meja.
    • Ketika proses jahit manik sedang dilakukan tidak perlu risau soal kehabisan benang ketika menjahit kerana ia secara langsung dari buku benang.
    • Ketika melakukan proses jahit manik, tangan akan sentiasa dalam posisi seperti sedang menulis dan kurang rasa penat kerana pergerakan proses jahit manik umumnya hanya sehingga pergelangan tangan dan tidak melibatkan bahu.
Contoh jahitan manik
Gambar 1: Miley Cyrus menggayakan rekaan Zuhair Murad ketika menghadiri Oscars 2009

Seperti di dalam Gambar 1 (Sumber: StyleFrizz), Untuk menjahit manik menggunakan teknik tradisional rasanya mungkin akan ambil masa beberapa bulan baru siap keseluruhan dress ini. Namun menggunakan teknik Jahitan Manik Tambour Beading, ia dapat membantu mempercepatkan jahitan manik sekaligus memberikan hasil yang lebih kemas.

pesanan USPS ke malaysia

Penghantaran pesanan menggunakan USPS ke Malaysia

Saya telah membeli secara atas talian dan telah sampai ke depan rumah, tidak sabar untuk mencuba.

Saya telah membuat pesanan sebelum ini di Laman: Lacis.com bagi mendapatkan Set Tambour Beading ini. Saya telah membaca dan mendapatkan sumber berkenaan teknik jahitan ini, maklumlah harganya bukanlah murah sekitar USD22.00 untuk 1 set jarum (1 alat dan 3 saiz jarum). Itu belum di ambil kira kos pemidang (Frame) bagi melengkapkan lagi Set Tambour Beading ini.

pelbagai pesanan dari Lacis.com
Pelbagai pesanan yang telah di buat di Lacis.com
Pemasanagan Tambour Beading Frame

Proses Pemasangan Bidang Jahit Manik

Set Pemidang Tambour Beading ini di datangkan dengan:

  • 2 kayu saiz panjang – fungsi sebagai pemegang fabrik
  • 2 kayu saiz sederhana – fungsi bagi meregangkan tinggi pemidang
  • 4 kayu saiz kecil – fungsi sebagai kaki pemidang
  • 4 getah – fungsi sebagai pengikat kaki pemidang
  • 2 x 2 meter Bias tape – fungsi meregangkan fabrik di kanan dan kiri pemidang
Sumber: Prof Robert Haven -Pensyarah Jahitan Manik Tambour Beading

Saya banyak merujuk teknik yang digunakan oleh Prof Robert Haven dalam mempelajari Teknik Tambour Beading ini, hinggakan saya telah membuat pesanan DVD keluaran beliau untuk mendapatkan maklumat berkenaan teknik ini dengan lebih lanjut.

pelbagai jenis jarum jahit manik

Pelbagai Jenis Jarum dan DVD

Selain daripada membuat pesanan Jarum Tambour Beading dan Pemidang, serta DVD Pengenalan Tambour beading saya juga telah membeli jarum Kantan Beading serta jarum untuk Sulaman Reben.

Pemasangan pemidang Tambour Beading
Pemidang Tambour Beading telah sedia dipasang
Bahagian kaki
Bahagian kaki Pemidang Tambour Beading juga telah dipasang
mencuba tambour beading

Lakaran motif untuk Tambour Beading

Setelah pemasangan pemidang telah selesai, saya memulakan lakaran motif serta penyusunan manik bagi mendapatkan anggaran saiz akhir setelah siap nanti. Agak kekok pada pertama kali mencuba teknik ini. Ini adalah kerana ia seperti menulis di atas kertas tetapi sebenarnya kita sedang menjahit manik menggunakan Teknik Tambour Beading.

Pemilihan manik yang betul
Penyusunan manik dilakukan mengikut saiz dan warna bagi memastikan hasil yang lebih kemas.
Jahitan Tambour Beading Secara Terbalik
Teknik tambour beading dilakukan secara terbalik dan manik tidak kelihatan

Ketika menjahit manik menggunakan teknik tambour beading ini, manik tidak kelihatan kerana manik berada di bawah manakala benang berada di atas. Bagi memahirkan diri dalam memahami teknik ini, anda dinasihatkan untuk teliti melihat arah benang dan bukan manik yang diutamakan. Sekian untuk kali ini, nantikan blog seterusnya. Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa membaca post untuk kali ini.